• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Kemenangan Nik Elin Beri Kesan Negatif Sistem Perundangan Syariah

KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Kes pembatalan 16 enakmen syariah Kelantan akan memberi kesan dan impak negatif kepada sistem perundangan syariah di seluruh negara termasuk Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata tanpa hilang hormat kepada institusi mahkamah, keputusan itu sangat mendukacitakan seluruh umat Islam di Malaysia dan ia merupakan hari kelam dan peristiwa hitam (Black Friday) yang akan dikenang oleh semua.

“Sekiranya ada kes liwat di Terengganu dan pelaku didakwa di Mahkamah Syariah Terengganu, pelaku boleh merujuk kepada keputusan kes Nik Elin bagi mengelak hukuman.

 “Sekali gus membatalkan undang-undang sama di Terengganu walaupun undang-undang terbabit telah dipersetujui dan mendapat perkenan Tuanku Sultan di negeri masing-masing,”katanya dalam kenyataan media pada hari ini.

Tambah Dr Khalil, sekiranya berterusan, kita juga bakal menyaksikan Mahkamah Syariah hanya gah pada nama tetapi tiada kuasa untuk menegakkan hukum Islam di negara ini.

Tambah Dr Khalil, Itulah kesan daripada keputusan kes hari ini yang seharusnya diinsafi seluruh umat Islam tanpa mengira ideologi politik.

“Ini juga merupakan satu jentikan kepada kita untuk bersatu bangkit melawan serangan musuh Islam yang semakin rancak saban hari.

“Saya juga menggesa Kerajaan agar serius untuk mengkaji suatu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi kedaulatan undang-undang Syariah kerana sekarang bukan lagi masa untuk bersikap ‘acuh tak acuh’ seperti sebelum ini walaupun banyak nasihat dan amaran sudah diberikan oleh pelbagai pihak,” jelasnya.

Beliau berkata, Ahli-Ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam sebagai anggota badan legislatif juga perlu menyokong usaha dalam mempertahankan sistem perundangan Islam di negara ini.

“Langkah itu perlu bagi memperkasakan sistem kehakiman Syariah agar sebarang tuntutan atau petisyen terhadap bidang berkenaan dapat dipatahkan,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: