• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kempen Solat Jumaat Semarak Usaha Dakwah

KUALA NERUS, 8 April- Kempen Solat Jumaat diketengahkan Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JPM) Terengganu dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tuntutan ibadah tersebut.

Pengerusinya, Mohd Nor Hamzah berkata, kempen tersebut diuar-uarkan supaya masyarakat lebih peka dengan ibadah berkenaan lebih-lebih lagi selepas kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam ibadah solat jemaah tanpa penjarakan sosial dikuatkuasakan awal April ini.

"Sesiapa yang mendengar kempen kita pada hari ini dan seterusnya, mohon agar ambil peringatan supaya jangan meninggalkan ibadah wajib ini. Ibu-ibu, kakak-kakak, tolong ingatkan suami kita. Tolong ingatkan anak-anak lelaki kita agar bersiap khususnya di bulan Ramadan untuk mendapat pahala dan ganjaran di sisi Allah SWT.

"Jangan kita mengundang murka Tuhan. Denda dan penjara itu (hukuman) atas dunia sahaja, yang kita takutnya adalah azab Allah SWT di Akhirat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi peringatan kepada orang awam dalam kempen yang diadakan di Pasar Teluk Ketapang dan Dataran Austin, di sini hari ini.

Tambahnya, dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 Seksyen 16, Tidak Menunaikan Sembahyang Jumaat (Pindaan 2016), menjelaskan mana-mana orang lelaki yang mukallaf yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh hukum syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua- duanya.

"Kami turun ke kawasan ini untuk berkempen bersama kedua-dua jabatan, kita sedarkan masyarakat dan semua umat Islam agar jangan lupa untuk menunaikan sembahyang Jumaat hari ini dan hari-hari Jumaat yang lain.

"Ingatlah semua, jaga ibadat,  Allah Taala akan jaga hidup kita insya-Allah," katanya.