• 20 Mei 2024 | 12 Zulkaedah 1445

Kenaikan Gaji: Terengganu Tunggu Perincian Persekutuan

KUALA TERENGGANU, 9 Mei - Kerajaan Terengganu menunggu perincian rasmi daripada kerajaan Persekutuan sebelum mengumumkan pelarasan gaji membabitkan kakitangan awam negeri itu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, setakat ini kenaikan gaji tersebut hanya diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lalu.

"Kita tidak dapat maklumat teliti lagi daripada kerajaan Pusat.

"Kita akan lihat dahulu perincian daripada kerajaan pusat, sebab bercakap tanpa perincian menyukarkan kita membuat tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI, Sarawak 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dr. Samsuri memberitahu, kerajaan Terengganu akan melakukan kajian penyelarasan gaji setelah mendapat perincian kenaikan gaji berkenaan.

"Kita tengok dulu (perincian kenaikan gaji), baru kita tengok langkah yang kita akan buat," ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini.


Tag: