• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kenaikan Tarif Air Terengganu Antara Paling Rendah

KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Susulan saranan Kerajaan Persekutuan, tarif baharu air bagi kategori pengguna domestik di Terengganu naik sebanyak 16 sen bagi setiap meter padu yang berkuat kuasa bermula 1 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut, berkata ia  merupakan kenaikan pertama membabitkan Terengganu sejak 26 tahun lalu namun kadar kenaikan berkenaan antara paling rendah antara semua negeri.

Katanya, caj minimum bagi pengguna domestik akan beralih daripada RM4.00 kepada RM 5.80.

Jelas beliau, bagi isi rumah yang menggunakan air sehingga 20 meter padu, kadar caj bagi setiap meter padu akan beralih dari 42 sen per meter padu kepada 58 sen per meter padu termasuk caj elektrik.

“Bagi penggunaan air 20 hingga 35 meter padu pula, kadar caj baharu bagi kategori ini akan beralih dari 65 sen per meter padu kepada 83 sen per meter padu," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media khas Pengumuman Tarif Air di Bilik Gerakan SATU, di sini hari ini.

Menurut Abdul Karim, penggunaan air yang melebihi 35 meter padu, kadar caj baharu adalah RM1.08 termasuk 8 sen caj elektrik bagi setiap meter padu berbanding kadar lama iaitu RM1.00.

Tambahnya, bagi kategori domestik pukal pula, caj minimum secara pukal akan berubah kepada RM10.80 sebulan dan caj baharu beralih sebanyak 8 sen kepada RM1.08 bagi penggunaan setiap meter padu air.

"Sementara itu, perusahaan komersial serta bangunan bukan domestik lain akan melihat peralihan kadar baharu kepada RM1.08 bagi penggunaan air sehingga 35 meter padu.

"Manakala penggunaan lebih daripada 35 meter padu dikenakan caj RM1.48 bagi setiap meter padu," jelasnya.

Dalam pada itu, bagi kategori khas termasuklah Surau dan Masjid, Rumah Ibadat dan Institusi Kebajikan serta Perkapalan akan bertambah kepada 8 sen bagi setiap meter padu mengikut kadar sedia ada.

Sementara itu, SATU akan meneruskan pemberian subsidi air percuma 20 meter padu  akan diteruskan kepada 
golongan B40 yang layak termasuk masjid dan surau mengikut ketetapan kerajaan negeri. 

"Perkara ini melibatkan 13,715 akaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.5 juta setahun.

"Bagi masjid dan surau, ia melibatkan 1,883 akaun dengan jumlah keseluruhan RM1.5 juta setahun," ujarnya lagi.

Katanya, pelarasan tarif air yang baharu ini memberi kesan positif kepada SATU untuk meneruskan inisiatif program penggantian paip lama selain penaiktarafan sistem bekalan air di Terengganu.

Pelarasan tarif itu melibatkan 341,546 akaun pengguna air yang aktif di Terengganu sehingga November 2023  di mana 83 peratus merupakan pengguna domestik.

Menerusi Mekanisme Penetapan Tarif, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini mengumumkan pelarasan tarif air baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.