• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kenderaan Amphicoach Untuk Pelancongan Diteruskan - Ariffin




Kenderaan Amphicoach atau bas dua alam akan diteruskan bagi tujuan tarikan pelancongan ke negeri Terengganu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman.

Katanya, kenderaan tersebut yang sedang dalam tempoh pembaikian bagi mengatasi masalah “overheating’ adalah di bawah tanggungjawab pihak pembekal sepenuhnya disebabkan kerajaan negeri masih belum membuat sebarang penerimaan pembelian kenderaan tersebut.

Dalam sidang media  selepas mendengar taklimat Status Projek Pembangunan berkaitan pelancongan di Jabatan Kerja Raya (JKR), Bukit Kecil, di Kuala Terengganu beliau berkata, pihaknya melihat secara positif berkaitan perkara berkenaan kerana ia mampu semarakkan industri pelancongan Terengganu dan sebagai negeri pertama di Asia mempunyai kenderaan itu.

Katanya, pihak kerajaan negeri menjangkakan pada Oktober ini, ia dapat diserahkan kepada pengurusan Taman Tamadun Islam (TTI) untuk tujuan tarikan pelancongan.

Menurutnya, pembekal kini dalam tempoh berdenda (LAD) selama 211 hari (sehingga 5 Jun 2018) dan kos denda berjumlah RM1,100.67 sehari kerana gagal menghantar dan menyerahkan kenderaan tersebut secara sempurna mengikut skop projek.

“Setelah semua disempurnakan dengan menemuhi keperluan dan justifikasi yang dijanjikan oleh pihak kontraktor, kerajaan negeri barulah akan membuat penerimaan pembelian tersebut,” katanya.

Kerajaan negeri membuat pembelian satu unit kenderaan Amphicoach dengan kelulusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 30 April 2014 dengan harga RM3,302,000 untuk tujuan pelancongan  dan kenderaan semasa banjir.

Bagaimanapun menurut Ariffin, kenderaan itu hanya sesuai untuk tujuan pelancongan sahaja.

Dalam perkara lain, mengenai laluan persiaran rekreasi (Double Road Frontage Fasa 2 dari Pasar Payang ke Taman Shahbandar, Ariffin berkata, ia akan diserahkan kepada pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak lama lagi.

“Laluan ini bersesuaian, sekitarnya boleh memuatkan 400 parking kenderaan, menggabungkan Jalan Persiaran, laluan pejalan kaki, laluan jogging, wakaf, landskap taman dan jeti pelancongan melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Tambah beliau lagi, ia memberi keselesaan bukan sahaja kepada pelancong dari luar, malah akan turut dinikmati oleh komuniti setempat.




Tag: