• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kepercayaan Rakyat Bantu Kerajaan Bangunkan Negeri

KUALA LUMPUR, 23 Mac - Kerajaan Terengganu memohon kerjasama daripada semua pihak termasuk anak-anak Terengganu yang berada di perantauan dalam usaha membangunkan negeri itu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan negeri akan membantu kepimpinan mempamerkan pentadbiran cemerlang sekalipun berdepan kekangan daripada kerajaan pusat.

"Cabaran yang ada tidak boleh melemahkan kita, malah perlu menjadi perangsang dalam membina idea, keputusan dan tindakan baru dalam melancarkan perjalanan pentadbiran dan kebajikan rakyat.

"Kita telah menggerakkan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu bagi meningkatkan pendapatan negeri dan sudah pasti ia memakan masa.

"Namun, saya yakin cabaran dan gangguan terancang ini dapat kita rempuh dengan kerjasama semua, seterusnya memberi kelancaran kepada perjalanan kerajaan yang kita bina," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Majlis Berbuka Puasa bersama Anak Terengganu di Perantauan di MAEPS, Serdang semalam.

Dalam majlis anjuran Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) itu, sekitar 2,000 perantau diraikan kepimpinan negeri yang turut dihadiri NGO-NGO anak Terengganu.

"Terima kasih kepada urus setia yang menguruskan program ini walaupun berdepan kekangan.

"Mengambil kesempatan ini juga, saya mengajak semua yang hadir untuk memanfaatkan baki bulan Ramadan yang masih ada.

"Gunakan setiap saat yang ada dalam bulan ini untuk meningkatkan amalan, memperbanyakkan doa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT," katanya.

 

 


Tag: