• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Keperluan Rakyat Diagih Mengikut Keutamaan - Dr Azman

Dr Azman Ibrahim.
Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 24 September – Keperluan rakyat yang menjadi agenda terpenting kerajaan negeri akan diagih mengikut keutamaan agar permasalahan utama dapat diselesaikan dengan menyeluruh.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Islam menekankan Fiqh Awlawiyyat atau Fiqh Keutamaan dengan memberi penekanan kepada keperluan mendesak berbanding urusan yang hanya menjadi pelengkap.

“Contohnya, kita (pihak berkuasa) ada duit RM5,000, kemudian ada permohonan untuk baiki atap rumah rakyat yang bocor sementara satu lagi permintaan bagi memasang penyaman udara di surau.

“Tentunya saya akan beri keutamaan peruntukan untuk baiki atap yang bocor dahulu. Permohonan pasang aircond di surau bukan kita tak lulus, cuma ‘Keep In View’ (KIV) untuk kita selesaikan urusan yang lebih terdesak,” jelasnya dalam satu kenyataan di ‘Facebook’ rasminya semalam.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, antara contoh lain adalah seperti permohonan bantuan rakyat bagi pembiayaan pembedahan dan perbiayaan bagi lawatan sambil belajar.

“Lawatan sambil belajar pun perlu. Tapi saudara kita yang kritikal di hospital lebih mendesak keperluannya, kita utamakan bantuan pembedahan.

“Selain itu, permohonan untuk masukkan bekalan air ke rumah rakyat kita akan dahulukan berbanding dengan permohonan mengecat dinding dewan orang ramai. Ini sekadar beberapa contoh mudah,” tambah beliau

Dalam pada itu, katanya, manusia tidak akan mampu melakukan semua perkara secara sekali gus namun ia bukanlah alasan untuk tidak memenuhi keperluan masyarakat.

Ujarnya, dialog serta program secara berkala banyak membantu dalam menyediakan segala kelengkapan rakyat

“Ia penting supaya masyarakat mendapat info terus daripada pihak yang berautoriti dan mereka boleh bertanya terus apabila ada perkara yang tidak jelas.

“Alhamdulillah, rakyat kita boleh faham bila diberikan penjelasan yang baik. Komunikasi ini penting dan jurang antara kita yang mengurus dengan rakyat yang diurus perlu diminimakan,”.


Tag: