Berita :
'Keputusan TFC Keluar Liga Super Belum Muktamad'
'Keputusan TFC Keluar Liga Super Belum Muktamad'
Mohd Irsyadi Abu Bakar
1 jam yang lepas
65

KUALA TERENGGANU, 22 April - Sebarang keputusan mengenai sama ada Terengganu Football Club (TFC) akan kekal di Liga Super Malaysia atau bermain di Liga Semi-Pro A1 pada musim akan datang, belum diputuskan secara muktamad.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim memberi jaminan, ura-ura itu belum lagi menjadi kenyataan. 

"Tetapi, agak bagus diketahui oleh umum lebih awal agar masing-masing dapat mengambil maklum kenapa kita tidak menjadi pencabar utama kepada pasukan-pasukan hebat. 

"Hakikat sebenarnya ialah kami sedang melakukan kajian dan penelitian dalam pelbagai aspek. 

"Saya juga ingin memberikan jaminan, keputusan ini tidak dibuat hanya melalui keputusan peribadi, ia akan dibuat secara konsensus melalui tertib organisasi. 

"Bermula daripada sesi-sesi libat urus dengan semua pemegang taruh, dilumatkan dalam bengkel khas, diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah TFC dan akan diputuskan secara konsensus di peringkat Exco Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu sebagai pemilik penuh kelab," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Pergulungan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan KDYMM Pemangku Raja Terengganu  pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hishamuddin menjelaskan punca idea itu ditimbulkan adalah kerana isu dalaman TFC sendiri, khususnya tanggungan beban hutang yang tinggi dan kos operasi tahunan yang terpaksa ditanggung sama dengan tanggungjawab penyelesaian hutang.

Beliau turut membentangkan rekod hutang TFC bernilai RM13 juta, yang kini berbaki sebanyak RM8.5 juta setelah penyelesaian melalui pelbagai pendekatan.

"Kita tidak boleh menurunkan kadar hutang secara drastik, sekalipun kita rendahkan kos operasi tahunan. 

"Isu yang paling utama bukan soal kecaman peminat bola sepak terhadap prestasi pasukan, tapi soal keupayaan dan kemampanan. 

"Sejauh mana kemampuan untuk kita bertahan, kekal atau berterusan dalam jangka masa panjang.

"Manakala, tanggungjawab penyelesaian hutang menjadi kewajiban atas kami untuk melunaskan seberapa segera kerana ia melibatkan hak pihak yang lain," katanya.

Tambahnya, pada musim ini, usaha pemotongan kos telah dilaksanakan pihak kelab sehingga terpaksa meletakkan siling belanja yang dibenarkan, menyebabkan sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi kelab.

Hishamuddin turut berharap agar ura-ura yang tersebar dapat memberi 'signal' yang jelas buat pengurusan Malaysian Football League (MFL) agar meneliti dan mendalami secara lebih membumi kemelut yang dilalui oleh kelab-kelab kecil seperti TFC. 

"Saya percaya ia juga dirasai oleh kelab-kelab negeri lain (yang tidak perlu saya nyatakan dalam dewan ini). Itulah yang menyebabkan sebahagian kelab telahpun keluar dan hilang kelayakan dari persaingan pada musim ini," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan