• 29 Nov 2021 | 23 Rabiul Akhir 1443

Kerajaan Ajak Rakyat 'Hidupkan' Solat Berjemaah

KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Bagi merancakkan lagi program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) peringkat Terengganu, kerajaan negeri bergerak mempromosikan kempen Jom Solat Berjemaah di Pasar Payang, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kempen tersebut dihidupkan sempena mengingati bulan Rejab yang padanya diturunkan kewajipan solat.

"Hari ini, kita mendekati peniaga-peniaga mempromosikan usaha yang digerakkan Rasulullah SAW dahulu iaitu solat berjemaah. Kita mahu peniaga di sini bukan sahaja menjual produk tetapi yang turut menerapkan budaya solat berjemaah apabila masuk waktu.

"Bukan sahaja mereka, malah kita mahu setiap pengunjung yang datang ke Terengganu juga terdidik dengan amalan mengerjakan solat secara berjemaah.

"Apabila semua lapisan masyarakat jaga ibadah dan amalan yang utama ini, kita akan membina masyarakat yang baik," katanya selepas menyampaikan sekitar 250 helai baju Jom Solat Berjemaah kepada pengunjung-pengunjung di lokasi berkenaan.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS), Kamaruzzaman Abdullah, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.  

Menurut Mohd Nor, kerajaan negeri juga telah berbincang dengan Persatuan Pasar Kedai Payang dan Bazar Warisan bagi memakmurkan surau di sana dengan aktiviti-aktiviti ilmu yang bakal dikendalikan IMiTS dan DUAT.

"Solat berjemaah boleh dibuat di rumah, namun apabila ada ruang untuk solat di masjid disebalik kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita disarankan memenuhkan masjid.

"Kerajaan negeri ambil tanggungjawab menyemarakkan kempen ini kerana inilah teras sebagai sebuah kerajaan sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT. Ia bukan sahaja tanggungjawab badan individu, ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO), tetapi kerajaan juga perlu ambil peranan.

"Kita juga akan cuba luaskan kempen ini ke semua daerah. Setakat ini kita pilih tempat yang kita anggap biasanya membawa kepada kita lalai untuk solat seperti pasaraya, pasar-pasar, padang bola dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, pengerusi persatuan Pasar Kedai Payang dan Bazar Warisan, Ahmad Syukri Abdullah mengalu-alukan kempen yang dianjurkan itu.

"Kempen ini sekurang-kurangnya dapat menyedarkan masyarakat untuk solat secara berjemaah kerana itu lebih afdal.

"Terengganu terkenal sebagai tamadun yang memiliki keilmuan dan penghayatan agama yang tinggi. Dalam hal ini, kita perlu bersama-sama mengekalkan dan menunjukkan identiti ini terutama kepada generasi muda hari ini," katanya.

 

 

 

 


Tag: