• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Kerajaan Konsisten Bantu Rakyat-Halina


Halina menyampaikan sumbangan Serikandi Terengganu kepada Kelab Ibu Tunggal DUN Batu Burok di Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal Bersama Serikandi DUN Batu Burok di Terengganu Equestrian Resort (TER), hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail
Kerajaan sentiasa konsisten dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama atau bangsa.

Yang Dipertua Serikandi (Badan Amal Dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu), To’ Puan Seri Halina Zakaria berkata, menerusi Bajet 2018 contohnya, bantuan yang disalurkan juga meliputi semua peringkat umur dari usia bayi, remaja, dewasa hingga warga emas.

Malah katanya, program bantuan kepada rakyat dilaksanakan secara berterusan sepanjang masa dan bukan hanya dilakukan secara bermusim terutama menjelang pilihan raya.

“Kerajaan dibawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sangat prihatin terhadap rakyat dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada semua peringkat dari semasa ke semasa tanpa mengira musim termasuk kepada golongan ibu tunggal.

“Justeru, buatlah pilihan terbaik dengan memilih calon yang boleh meneruskan perjuangan untuk memperkasa golongan ibu tunggal semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal Bersama Serikandi DUN Batu Burok di Terengganu Equestrian Resort (TER), hari ini.

Turut hadir, Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Pegawai Penyelaras DUN Batu Burok, Zamri Awang Hitam.

Pada majlis itu, Halina turut menyempurnakan penyampaian bantuan keperluan dapur dan wang tunai berjumlah RM300 kepada ibu tunggal di DUN tersebut yang berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

Bantuan pengurusan RM5,000 oleh kerajaan negeri menerusi Serikandi juga diserahkan kepada Kelab Ibu Tunggal DUN Batu Burok pada program tersebut.


Tag: