• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Kerajaan Laksana Enam Langkah Tingkat Peluang Kerja Buat Belia

KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Negeri melaksanakan enam langkah sebagai usaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan kepada generasi muda terutamanya di daerah Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu antaranya mengemaskan penyebaran maklumat atau akses kepada peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan minat mereka.

"Memberi fokus kepada usaha penempatan pekerjaan dalam peluang pekerjaan yang ditawarkan.

"Melaksanakan program pemadanan pekerjaan di peringkat Daerah melalui program Karnival Kerjaya, siri Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat di daerah.

"Pembaikan program yang dijalankan secara bersasar bagi meningkatkan keberkesanan mencapai golongan sasaran, seperti dalam bidang TVET dan bagi golongan muda," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada semalam.

Oleh itu, katanya, bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran kerja, kerajaan negeri sedang merancang untuk meningkatkan tahap kemahiran rakyat yang sedang bekerja tanpa perlu melalui program latihan formal.

"Menggalakkan pekerja dalam Sektor Tidak Formal (Gig) supaya menyertai pekerjaan sepenuh masa.

"Meningkatkan tahap kemahiran rakyat yang sedang bekerja tanpa perlu melalui program latihan formal seperti Program Persijilan. 

"Rakyat melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT)," ujarnya.

Beliau menambah, sebanyak enam program pemadanan pekerjaan telah dilaksanakan di daerah Besut dalam tempoh tahun 2023 sehingga Mac 2024.


Tag: