• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Kerajaan Nasihat Peniaga Tidak Naikkan Harga Sesuka Hati

KUALA TERENGGANU,22 Mac - Peniaga di negeri ini diingatkan supaya tidak meletakkan atau menaikkan harga barangan tidak seiring dengan kenaikan kos ditanggung sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu,  Ariffin Deraman berkata, harga yang diletakkan perlu munasabah supaya tidak membebankan pengguna.

Beliau berkata, peniaga juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga kualiti makanan yang dijual kepada orang ramai supaya sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat untuk dimakan.

“Selain bazar Ramadan, terdapat banyak lokasi moreh dan sahur di Terengganu, jadi kita minta kepada peniaga-peniaga tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.

“Kita tak nafikan berlaku kenaikan barang tapi jangan ambil kesempatan letakkan harga yang tidak seiring dengan kos yang ditanggung mereka.


“Bagi pengguna pula, berbelanjalah dengan bijak ketika membeli juadah sama ada ketika di bazar atau di lokasi-lokasi moreh dan sahur yang ada,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di  Selepek Sahur Payang Walk di sini malam tadi.


Dalam pada itu, Ariffin berkata, Selepek Sahur Payang Walk antara lokasi moreh dan sahur yang beroperasi bermula malam tadi sehingga 6 April depan.

Katanya, terdapat lebih 50 gerai yang menjual pelbagai juadah  bermula jam 9.30 malam hingga 3.30 pagi setiap hari.

“Selain Selepek Sahur Payang Walk ini, ada banyak lokasi moreh dan sahur di Terengganu yang boleh dijadikan tempat untuk pengguna menikmati hidangan dan bersantai bersama keluarga selepas solat Tarawih,” katanya.


 


Tag: