• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Bantu 400 Ibu Tunggal Kemaman

KEMAMAN, 17 Jun - Kerajaan Negeri membantu lebih 400 orang ibu tunggal dengan pemberian baucer pembelian barang keperluan harian. 

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan & Teknologi Maklumat II Negeri Terengganu, Ab Razak Ibrahim berkata, ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban mereka.

"Pelbagai bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat Terengganu termasuk golongan wanita dalam membantu mereka dari pelbagai sudut.

"Bantuan khusus buat golongan wanita juga disediakan seperti Baucer Pakej Berpantang Buat Ibu Bersalin, Bantuan 'one-off' kepada Ibu Tunggal setiap tahun dan pelbagai lagi.

"Selain itu, Tabung Siti Khadijah melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu juga dibina untuk membantu golongan wanita yang tidak berkemampuan, susah dan sebagainya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Himpunan Ibu Tunggal Terengganu (HIT) Peringkat Daerah Kemaman 2023, di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini kelmarin.

Tambah Ab Razak, peluang pekerjaan yang khusus buat golongan wanita juga disediakan oleh kerajaan di negeri ini.

"Seperti Peruntukan RM1 juta bagi meneruskan program 'Home Manager' yang menyediakan peluang pekerjaan khas untuk wanita," ujarnya.

Beliau berkata, rakyat semestinya bijak menilai kepimpinan kerajaan yang sedaya upaya mengangkat Terengganu ke arah sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera.

 


Tag: