• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Bantu Pengusaha CBT Terjejas Banjir

KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Kerajaan negeri telah mengadakan rundingan bersama pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membantu membaik pulih produk pelancongan berteraskan komuniti (CBT) yang terkesan ekoran banjir luar jangka melanda Terengganu baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, Pusat Rekreasi Pengkalan Warisan dan Dataran Banggol Cempedak antara CBT yang terjejas teruk dengan bencana alam itu.

 “Kalau di Pengkalan Warisan, hampir semua tempat jualan mereka musnah. Ini menyebabkan kita terpaksa tangguh program itu.

"InsyaAllah kerajaan negeri akan cuba ambil peranan membantu dua tempat ini dan tempat lain yang terkena banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut pada sidang media sempena penganjuran program Karnival Beautiful Terengganu 2022 di Bilik Mesyuarat Jabatan Pelancongan Negeri, kelmarin.

Menurut Ariffin, kerja-kerja pembersihan kesan peninggalan banjir itu juga masih giat dilaksanakan di dua lokasi CBT yang dibangunkan penduduk setempat itu.

Ujar beliau, pihaknya menganggarkan kerugian kira-kira RM200,000 yang terpaksa ditanggung pemain industri CBT dengan kerosakan sekitar 30 hingga 80 peratus.

Bagaimanapun Ariffin berkata pihaknya sedang menilai jumlah kerugian sebenar yang dialami penggiat industri pelancongan susulan musibah banjir berkenaan.