• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Bantu Percepat Proses Pengesahan Lesen Jeti Pulau Tenggol

DUNGUN, 10 Julai – Kerajaan Terengganu sedang mempercepatkan proses pengesahan lesen bagi jeti-jeti di Pulau Tenggol untuk meningkatkan aksesibiliti kepada pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris mengakui bahawa pada masa sekarang, kebanyakan jeti yang beroperasi di Pulau Tenggol tidak mempunyai pengesahan atau lesen yang sah daripada pihak berkuasa.

Beliau menekankan kepentingan untuk berbincang dan berdialog dengan pengusaha tempatan bagi memastikan keselamatan dan kemudahan akses bagi pelancong harian dan penginapan di Pulau Tenggol.

"Melalui perbincangan bersama jabatan daerah dan majlis daerah, jeti-jeti tersebut akan segera mendapat lesen yang sah," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Program Lawatan Ke Tapak Cadangan Projek Pembangunan Pelancongan Dan Sesi Perbincangan Bersama Penggiat Pelancongan Terengganu, Pulau Tenggol bertempat di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun (MPD) di sini hari ini.

Razali menjelaskan bahawa langkah tersebut tidak hanya untuk memastikan keselamatan pelancong, tetapi juga untuk memperluas industri pelancongan di Terengganu.

Beliau menegaskan komitmen kerajaan dalam mematuhi peraturan sedia ada untuk meningkatkan standard pengurusan jeti-jeti tersebut.

“Saya yakin, selepas hari ini, pada tahun depan, kita akan melihat jeti-jeti persendirian yang sedia ada mendapat pengiktirafan sepenuhnya,” ujarnya.


Tag: