• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Belanja Lebih RM3 Juta Hantar Enam Pelajar Ke UK

Ahmad Razif (tengah) berbual dengan pelajar cemerlang yang bakal melanjutkan pengajian di UK pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Diri Pelajar Tajaan Yayasan Terengganu Program Saintis Islam dan Program Berkembar ke United Kingdom (UK) di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Zulkifli C.W. Putra

Kerajaan negeri membelanjakan lebih RM3 juta bagi menghantar enam pelajar mengikuti Program Berkembar Nottingham University, UK tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kesemua pelajar akan berlepas minggu depan bagi mengikuti pengajian dalam bidang farmasi, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektronik dan elektrikal, nutrisi serta pengurusan akaun dan kewangan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

“Sehingga September 2017, seramai 308 pelajar sedang menyambung pengajian di luar negara melibatkan tajaan RM22.3 juta.

“Daripada jumlah itu, seramai 92 pelajar menyambung pengajian ke Rusia, 72 (Jordan), 53 (Mesir), 41 (UK), 26 (Mesir), 17 (Jerman), dua (Australia) dan masing-masing seorang di Amerika Syarikat dan Maghribi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Diri Pelajar Tajaan Yayasan Terengganu Program Saintis Islam dan Program Berkembar ke United Kingdom (UK) di Wisma Darul Iman,hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latif Awang dan Pengarah Yayasan Terengganu, Hishamudin Hashim.


Sementara itu, penerima biasiswa Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin (program Saintis Islam Terengganu), Muhammad Nur Irfan Mohd Zameri, 20, menzahirkan kesyukuran atas tajaan yang diterima.

Beliau yang menyimpan hasrat menjadi saintis Islam pertama Terengganu akan melanjutkan pengajian dalam bidang aeroangkasa di Universiti Manchester, United Kingdom (UK) turut berkongsi rahsia kejayaan sehingga berjaya sampai ke tahap itu.

Katanya selain fokus, seimbangkan aktiviti luar dan dalam kelas beliau mengamalkan amalan membaca al-Quran setiap hari.

“Saya akan membaca sekurang-kurangnya satu helaian al-Quran setiap hari dan ia menjadi amalan saya dari dulu hingga kini,” katanya.

Muhammad Nur Irfan yang berasal dari Kampung Sungai Kerak, Marang ditemani bapanya, Zameri Abdullah, 55 dan ibu, Norbaini Mohamed, 42 ketika menerima penyerahan wang pendahuluan diri pelajar yang disampaikan Ahmad Razif.

Sebagai permulaan, bekas pelajar cemerlang (10A) Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu itu mendapat tajaan biasiswa sebanyak RM854,000 merangkumi pengajian di peringkat A-Level dan ijazah pertama selama empat tahun bermula September 2017.

Muhamad Nur Irfan sebelum ini telah mengikuti program persediaan (A-Level) selama dua tahun di Kolej Yayasan UEM, Lembah Beringin, Perak dengan mendapat keputusan cemerlang AAA* serta berjaya mendapat tawaran dari Manchester University bagi mengikuti kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Aero Angkasa selama empat tahun.

Tag: