• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Buka Kembali Permohonan Tanah Rentahan Haram Pertanian

ADUN Jabi, Dr. Azman Ibrahim.

KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Kerajaan Terengganu bersetuju membuka kembali permohonan Tanah Rentahan Haram Pertanian bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memajukannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, permohonan berkenaan dibuka bermula Mei lalu (2019) sehingga 31 Disember 2020.

"Setelah tujuh tahun iaitu kali terakhir dibuka pada tahun 2012, pejabat-pejabat tanah daerah bersedia memproses permohonan baharu.

"Jadi, rakyat yang mempunyai tanah rentahan haram dan memenuhi syarat ditetapkan boleh ke pejabat tanah daerah untuk mengisi Jadual Satu dan perlu didaftarkan sebelum tamat tarikh pada tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kedua DUN Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dr. Azman berharap, keputusan itu menjadi satu rangsangan untuk memajukannya sebagaimana syarat yang ditetapkan kerajaan.

"Kami yakin perkara ini akan mendapat sambutan hangat daripada rakyat," katanya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut memanjangkan tempoh hak milik sementara tanah rentahan pertanian daripada 60 tahun kepada 99 tahun demi kelangsungan penghasilan sumber makanan negeri.


Tag: