• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Hantar Dua Tan Metrik Bekalan Makanan Ke Pulau Redang


Kerajaan negeri menghantar bekalan makanan sebanyak dua tan metrik bernilai RM11,000 kepada penduduk di Pulau Redang sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tranformasi negeri, Bazlan Abd Rahman berkata, bekalan makanan seperti beras, minyak masak, sardin, tepung gandum dan gula dihantar untuk kegunaan 232 ketua isi rumah.

Katanya, bekalan yang dihantar itu cukup untuk menampung keperluan penduduk selama seminggu sekiranya banjir melanda pulau itu.

"Selain kepada penduduk di Pulau Redang, penghantaran bekalan makanan sebanyak 2.9 tan metrik bernilai kira-kira RM13,000 juga turut dihantar kepada penduduk di Pulau Perhentian.

"Bekalan makanan terpaksa dihantar lebih awal kepada penduduk di dua pulau berkenaan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk laut bergelora," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Balai Raya Pulau Redang, hari ini.


Dalam perkembangan lain, Bazlan yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Rakit berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM2.5 juta tahun ini untuk menyediakan bekalan makanan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

Selain peruntukan dari kerajaan negeri, kerajaan pusat turut memperuntukkan sebanyak RM265,000 untuk menyediakan bekalan makanan kepada mangsa bencana.

"Semua bekalan makanan yang diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dihantar ke 16 mini depoh sebelum dihantar 135 pengkalan hadapan di seluruh negeri.

"Tahun ini, kerajaan negeri mengenal pasti sebanyak 531 pusat pemindahan yabg boleh memuat kira-kira 131,920 mangsa," katanya.




Tag: