• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Jaga Kebajikan Penuntut Terkesan COVID-19

SETIU, 26 Oktober- Kerajaan negeri menyediakan makanan percuma kepada penuntut yang berada di kelompok penginapan yang tidak pulang ke kampung halaman berikutan terkesan COVID-19 yang melibatkan mahasiswa Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Rakit, Setiu dan IPG Kampus Sultan Mizan, Besut. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, sebanyak 221 pek makanan diagihkan kepada dua institusi terbabit dimana 194 pek untuk IPG Batu Rakit dan selebihnya di IPG Besut.

"Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka para pelajar yang berjauhan dengan keluarga disebabkan terkandas dan tidak boleh pulang ke negeri asal akibat wabak COVID-19.

"Kebanyakkan dari mereka menetap di Sabah, zon-zon merah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," ujarnya.

Dalam pada itu, Satiful menyeru kepada seluruh mahasiswa supaya mematuhi arahan dan terus kekal berada di dalam kampus untuk mengurangkan penularan wabak COVID-19.

"Para pelajar perlu mengurangkan ke tempat yang ramai orang, teruskan mengamalkan kaedah pencegahan wabak walau dimana anda berada.

"Sebaiknya gunakan ruang dan masa yang ada dengan mengulangkaji pelajaran," ujarnya.