• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Rai Petugas Media Terengganu

KUALA TERENGGANU, 2 April – Kerajaan negeri meraikan kira-kira 200 pengamal media dan pempengaruh media sosial Terengganu pada Majlis Berbuka Puasa bertempat di Perkarangan Kediaman Sri Iman, Batu Buruk di sini petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata penganjuran majlis tersebut bagi menghargai segala komitmen, kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pengamal media terutama membuat liputan berkaitan kerajaan negeri.

"Pengamal media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat dengan memastikan bahawa informasi yang disampaikan adalah tepat, benar, dan sesuai dengan ajaran Islam.

"Lantaran itu, kewartawanan merupakan satu kerjaya yang memenuhi fitrah manusia yang setiap masa berkehendak kepada maklumat semasa samada kajian penulisan berita, video pendek dan sebagainya.

"Mereka juga adalah tenaga penggerak bagi membekalkan berita yang tepat kepada masyarakat," katanya ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Media Terengganu petang semalam.

Turut hadir, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa.

Pada majlis itu, Dr Khalil turut menyampaikan sumbangan hamper kuih raya kepada petugas media serta pempengaruh media sosial.

Untuk rekod, Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media Terengganu merupakan acara tahunan yang diadakan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, ia bertujuan menyantuni dan menghargai petugas media yang bertungkus lumus menyajikan berita terkini kepada masyarakat, di samping memupuk ikatan silaturahim.