• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Sambut Baik Kerjasama Strategik Dengan Gentari

KUALA TERENGGANU, 4 Februari- Kerajaan negeri membuka seluasnya ruang kerjasama strategik dengan Gentari Sdn Bhd (Gentari) termasuk pembinaan stesen pengecas kenderaan elektrik di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pihaknya mengalu-alukan hasrat anak syarikat PETRONAS itu untuk membuat lebih banyak pelaburan di negeri ini.

“Setakat ini, kalau kita lihat sesiapa yang ada kenderaan elektrik ini bila datang ke Pantai Timur mereka perlu merancang untuk cas kenderaan.

 “Sebelum ini pun Gentari dah ada buat ‘enggagement’ dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu.

“Mungkin selepas ini dibawah portfolio Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, kita boleh ‘explore’ banyak lagi kerana dibawah Gentari ini bukan sahaja kenderaan elektrik sahaja mereka mahu bawa ke Terengganu tetapi pelbagai lagi cadangan daripada mereka yang boleh kita pertimbangkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Green Mobility Roadshow By Gentari di Wisma Darul Iman, hari ini. 

Sementara itu, mengulas mengenai siri jelajah tersebut, beliau memaklumkan, kerajaan negeri dengan kerjasama pihak Gentari telah mengadakan satu Siri Jelajah Kenderaan Elektrik yang berlangsung pada 4 hingga 5 Februari (esok).

“Sebanyak empat buah kereta elektrik dan motosikal elektrik akan dipamerkan seperti kereta Mercedes EQS, BYD Atto 3, Motosikal Elektrik Blueshark dan lain-lain.

“Gentari menawarkan penyelesaian tenaga bersih melalui rangkaian penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau untuk pelanggan komersial, perindustrian serta runcit,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, penganjuran program tersebut bertujuan memberi pendedahan serta kesedaran dalam bidang tenaga bersih terutamanya tenaga boleh diperbaharui dan mobiliti hijau kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya kepada penjawat awam, pelajar sekolah serta masyarakat setempat.

“Siri jelajah ini akan bermula dengan pameran kenderaan elektrik di Wisma Darul Iman pada jam 9 pagi hingga jam 2.30 petang hari ini.

“Seterusnya, pameran akan diteruskan di Pantai Batu Burok pada jam 7 petang hingga 10 malam ini.

“Pameran kemudiannya akan berakhir pada 5 Februari dengan sesi pameran di sebuah sekolah rendah di Kuala Terengganu dan seterusnya di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bermula pada jam 2 petang hingga jam 5 petang esok,” ujarnya.

Tambah beliau, kolaborasi ini adalah salah satu usaha untuk kerajaan negeri meneroka teknologi pengangkutan baharu dan mewujudkan ekosistem kenderaan hijau di Terengganu melalui pembangunan infrastruktur elektrik dan hidrogen pada masa akan datang.