• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Sokong Tingkat Bantuan Pendidikan Anak-Anak Asnaf

KUALA TERENGGANU, 24 April – Kerajaan negeri menyokong seruan untuk meningkatkan pemberdayaan pendidikan dengan membantu anak-anak asnaf, seperti yang ditekankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam titah diraja pada pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Isnin lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, dalam upaya mewujudkan akses pendidikan yang adil dan merata, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyeru semua pihak untuk bersama-sama memberi sokongan kepada golongan asnaf dalam memastikan mereka mendapat peluang pendidikan yang setara dengan yang lain. 

“Dengan menggariskan kepentingan pemberdayaan melalui pendidikan, titah diraja ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri Terengganu bagi memastikan setiap anak-anak terus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Tambah Riduan, pendidikan dianggap sebagai alat transformasi sosial yang penting serta sebagai wahana pelengkap sesebuah ketamadunan. 

Menurutnya, Terengganu sejak zaman berzaman, dikenali sebagai tempat yang memperjuangkan jihad pendidikan.

“Jajaran pondok dan madrasah di sini dianggap sebagai benteng akidah dan ruang untuk penegasan jatidiri sebagai seorang muslim. 

“Oleh itu, adalah wajar bagi kerajaan Terengganu untuk memberikan bantuan sebanyak mungkin kepada semua pelajar dan tenaga pengajar,” ujarnya.

Dengan langkah ini katanya, diharapkan pendidikan di Terengganu akan terus berkembang pesat, menyumbang kepada pembangunan individu dan masyarakat yang lebih cemerlang dan berdaya saing.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: