• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Tanggung RM6.46 Juta Kecualikan Sewa Premis Kerajaan

KUALA TERENGGANU, 16 November - Kerajaan Terengganu menanggung kos kira-kira RM6.46 juta susulan pengecualian bayaran sewa premis milik kerajaan negeri akibat penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri menerusi Majlis Bandar Raya dan Majlis Daerah sepatutnya mengutip sewaan kira-kira RM10.76 juta bagi tempoh lima bulan iaitu April hingga Jun 2020 serta Jun dan Julai lalu.

Jelasnya, terdapat 8,116 premis di bawah kerajaan negeri yang membabitkan kutipan sewa sebanyak RM5,974,665 juta namun, diberikan pengecualian sewaan sebanyak RM3,150,315 juta bagi tempoh tiga bulan bermula April tahun lalu.

Beliau berkata, pengecualian diberikan kepada peniaga khususnya yang menyewa premis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Terengganu.

“Untuk rekod, PBT yang paling terkesan adalah Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dengan pengecualian sewaan sebanyak RM832,500 berbanding RM1.665 juta jumlah sewaan yang sepatutnya dikutip diikuti Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) membabitkan pengecualian sebanyak RM578, 670 (RM1,157,340 jumlah sewaan).

“Kita sekali lagi membuat pengecualian kutipan sewa terhadap 8,529 premis bagi tempoh dua bulan bermula Jun lalu dengan menanggung kos kira-kira RM3.314,913.74 juta berbanding RM4,790,282.80 juta jumlah sewaan yang sepatutnya dikutip.

“Bagi tempoh dua bulan itu, MBKT turut merekodkan jumlah pengecualian tertinggi iaitu sebanyak RM846,004 berbanding RM1.1 juta sewaan yang sepatutnya dikutip diikuti Majlis Perbandaran Dungun yang merekodkan pengecualian sebanyak RM530,538.50 berbanding RM911,407 jumlah sewaan yang sepatutnya dikutip,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) berhubung jumlah kutipan sewa premis milik Majlis Bandaraya dan Majlis Daerah yang sepatutnya dikutip namun diberi pengecualian atau potongan susulan penularan Covid-19.

Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tunggal berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga bersetuju menanggung 50 peratus bagi membayar hasil sewaan premis PBT dan bersetuju menghapus kira 50 peratus hasil sewaan premis akibat PKP bagi tempoh tiga bulan bermula April tahun lalu.

“Pengecualian bayaran sewa premis perniagaan bagi tahun ini hanya diberikan kepada premis yang memenuhi kriteria-kriteria yang diputuskan MMKN iaitu premis-premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi berikutan PKP 3 dan premis-premis dengan kadar sewa tidak melebihi RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak Menara komunikasi,” katanya. - Harian Metro.

 

 


Tag: