lightning-solid
Berita :
Kerajaan Negeri Terengganu, MHO 'Gempur' Jepun Selamatkan Adik Faiq
Kerajaan Negeri Terengganu, MHO 'Gempur' Jepun Selamatkan Adik Faiq
Ahmad Mawardi
15 jam yang lepas
150

TOKYO, 2 Februari – Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) melancarkan misi khas ke Jepun bagi membantu membawa pulang Muhammad Faiq Zafran, 23, yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Wakil Kerajaan Negeri merangkap ADUN Manir, Hilmi Harun, memaklumkan bahawa rombongan tersebut telah tiba di Tokyo kelmarin dan dijadualkan berangkat ke Balai Polis Toyama Minami hari ini. 

Misi utama mereka adalah untuk mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa tempatan bagi mencari jalan penyelesaian mengikut lunas undang-undang Jepun.

Muhammad Faiq sebelum ini dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak 19 November tahun lalu. 

Hasil maklumat awal, pemuda tersebut kini ditahan di Balai Polis Toyama Minami atas dakwaan penglibatan dalam sindiket penipuan panggilan telefon palsu (phone scam).

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, menjelaskan bahawa dalam operasi penahanan tersebut, pihak berkuasa Jepun turut merampas wang tunai berjumlah kira-kira empat juta yen.

Mangsa Eksploitasi Sindiket Maklumat mengenai penahanan ini diperoleh melalui portal berita dan laporan media tempatan di Jepun. 

Kami berpandangan bahawa Muhammad Faiq sebenarnya adalah mangsa pemerdagangan manusia yang dieksploitasi oleh sindiket penipuan dalam talian.

“Jika benar beliau seorang penjenayah, pastinya beliau mempunyai rekod lampau di Malaysia, namun beliau bersih daripada sebarang rekod. Ini menguatkan kepercayaan kami bahawa beliau dipaksa atau diperdaya,” ujar Hishamuddin.

Langkah Diplomasi menurut beliau, merupakan langkah susulan selepas pihaknya mendapatkan bantuan awal daripada Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri (KLN) serta Kedutaan Jepun di Malaysia.

Meskipun begitu, pihak MHO menegaskan bahawa mereka tetap menghormati sistem perundangan dan kedaulatan negara Jepun. Segala usaha bantuan akan dijalankan secara tertib bagi memastikan mangsa tidak dikenakan tindakan undang-undang yang berat, memandangkan statusnya sebagai mangsa eksploitasi.

Misi ini diharapkan dapat memberikan sinar baharu kepada keluarga Muhammad Faiq yang telah buntu mencari jalan untuk membawa pulang anak mereka ke tanah air.


Tag :

Artikel Berkaitan