• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Tidak Mahu Retorik

Menteri Besar menyampaikan papan tanda markas kepada Ketua Cawangan Kampung Sekati sempena perasmian Karnival Cakna Rakyat DUN Teluk Pasu, Manir, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Kerajaan negeri tidak mahu retorik dan sekadar bercakap politik bagi memenangi hati rakyat, kata Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Katanya, pelbagai program terlaksana sebagaimana diuar-uarkan kerajaan demi kepentingan dan manfaat kepada rakyat yang memberi mandat pada pilihan raya umum lalu.

"Karnival Cakna Rakyat (DUN Teluk Pasu) ini susulan Ekspo Terengganu 2018 baru-baru ini, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk mengadakan mini ekspo di seluruh daerah yang akan diketuai pegawai daerah masing-masing.

"Konsep mini tiga hari dua malam akan ada pameran cerita kejayaan daerah, perancangan pada masa akan datang dan juga perkhidmatan kepada rakyat serta peniaga-peniaga beserta Jualan Sentuhan Rakyat. Kita hendak beri tempat kepada semua pihak supaya dapat menikmati hasilnya, "katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Cakna Rakyat 2018 Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu di Dataran Dewan Dato’ Pendekar, Banggol Tok Esah, Teluk Pasu, Manir, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Dato' Basir Ismail dan Pegawai Penyelaras DUN Teluk Pasu, Che Mansor Salleh.

Ahmad Razif berkata, konsep sebegini (ekspo) membolehkan rakyat menilai sendiri, membuat pilihan serta keputusan terbaik untuk faedah mereka pada pilihan raya umum nanti.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu rakyat berfikir dengan bijak dan tidak mudah  terpengaruh dengan fitnah serta apa sahaha yang dipolitikkan pihak pembangkang dalam usaha menafikan pencapaian kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat selama ini.

Tambahnya lagi, pelbagai cerita kejayaan dan perancangan akan datang dalam pelbagai aspek di seluruh Terengganu yang dipaparkan menerusi ekspo baru-baru ini juga berjaya membuka mata rakyat.


Menurut beliau lagi, bagi memastikan setiap perancangan dalam tempoh empat tahun akan datang tidak terkandas, rakyat tiada pilihan lain melainkan memberi peluang dan memilih kerajaan sedia ada supaya dapat meneruskan agenda pembangunan serta menyediakan perkhidmatan yang dijanjikan itu.

Tag: