Kerajaan Pantau Situasi Banjir, Pastikan Bantuan Disalur Segera - MB

KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi berkaitan akan terus memantau situasi banjir dan memberi perhatian terhadap keperluan mangsa dengan memastikan segala bantuan disalurkan segera.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelbagai usaha telah dan sedang digerakkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa yang terjejas, termasuk penyediaan makanan, pakaian dan perkhidmatan kesihatan di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terkawal.

"Saya mengajak semua rakyat untuk terus berdoa agar setiap daripada kita yang diuji ketika ini diberikan kesabaran dan dipermudahkan segala urusan.

"Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menghadapi ujian ini dengan tabah, insya-Allah," ujar beliau dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mengingatkan seluruh rakyat agar sentiasa mengikuti arahan keselamatan yang diberikan oleh pihak berkuasa dan bekerjasama bagi memastikan keadaan banjir ini dapat ditangani dengan baik.

Terdahulu, Ahmad Samsuri telah turun meninjau beberapa PPS di Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kuala Terengganu sejak Khamis lalu hingga semalam bagi bertemu mangsa banjir dan memastikan operasi di pusat penempatan mangsa banjir berjalan lancar. 


Tag: