KUALA LUMPUR, 11 November – Peralihan penanaman daripada tembakau kepada kenaf oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) terus menunjukkan perkembangan positif dengan sasaran 2,500 hektar tanaman kenaf bagi tahun 2025.
Sasaran itu melibatkan penyertaan 846 pekebun kecil, merangkumi 1,200 hektar bagi pengeluaran fiber, 300 hektar untuk biji benih, dan 1,000 hektar bagi pengeluaran makanan ternakan (feedstock).
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, berkata sehingga 31 Oktober 2025, sebanyak 1,763.36 hektar tanaman kenaf telah berjaya dilaksanakan melibatkan 735 pekebun kecil dan 12 usahawan.
“Daripada jumlah itu, 808.16 hektar adalah bagi pengeluaran fiber, 311.5 hektar untuk biji benih, manakala 643.7 hektar lagi melibatkan tanaman bagi pengeluaran makanan ternakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat, hari ini.
Persoalan mengenai kemajuan industri kenaf itu dibangkitkan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, yang meminta penjelasan mengenai sejauh mana keberhasilan peralihan daripada tanaman tembakau kepada kenaf serta perkembangan industri tersebut setakat ini.
Chan turut memaklumkan bahawa mulai 2024, LKTN telah memperluaskan pembangunan industri kenaf ke Sabah dan Sarawak dengan penglibatan pihak swasta serta agensi kerajaan negeri.
“Antara fokus utama adalah pembangunan kemudahan pengeluaran, pemprosesan dan penyimpanan benih kenaf bagi memperkukuh rantaian nilai industri,” katanya.
Selain itu, LKTN bersama Lembaga Kemajuan Negeri Sabah (SEDCO) kini dalam proses membangunkan kawasan tanaman kenaf berasaskan makanan ternakan di Sook, Keningau, dengan sasaran keluasan 100 hektar.
Langkah ini, jelasnya, mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sektor komoditi baharu yang berpotensi tinggi sebagai sumber ekonomi alternatif bagi menggantikan industri tembakau di negara ini.
