Berita :
THT Mengamuk, Ratah ATM di Halaman Sendiri
THT Mengamuk, Ratah ATM di Halaman Sendiri
Mohd Irsyadi Abu Bakar
1 jam yang lepas
54

KUALA LUMPUR, 19 April - Setelah gagal mencatat kemenangan dalam dua perlawanan awal, Terengganu Hockey Team (THT) bangkit pada perlawanan ketiga TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) dengan kemenangan besar 7-1 ke atas Armed Forces HT, sebentar tadi.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, penyerang utama THT, Mohd Faizal Shaari mencetak empat gol bagi membantu pasukannya membawa pulang tiga mata berharga.

Manakala, tiga gol lagi dijaringkan Muhammad Abid Suffian Mat Ruslee, Muhammad Arif Syafie Ishak dan Mohammad Harris Iskandar Osman.

Menurut pengendali pasukan, Mohd Harfizi Baharom, pemain-pemain bermain mengikut perancangan ditetapkan dan berhasil mencatatkan jaringan besar.

"Mungkin kali ini pemain-pemain sudah 'aware' dengan perkara itu di mana kita telah kehilangan lebih kurang lima mata pada dua perlawanan sebelum ni.

"Kita kena mula dengan mencari tiga mata dan seterusnya untuk terus konsisten mendapatkan mata bagi mengakhiri bagi pusingan pertama ini dengan tempat yang terbaik.

"Kalau diikutkan, kita tak banyak ubah apa-apa corak permainan kita, cuma kita lebih menajamkan prestasi berdekatan jarak 23 meter pihak lawan dan kita cuba untuk mendapatkan sentuhan-sentuhan di dalam kotak D pasukan lawan supaya dapat mencari jaringan atau pukulan sudut penalti," jelasnya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, malam ini.
Tambahnya, beliau dan pasukan akan berusaha mengekalkan prestasi dalam perlawanan-perlawanan akan datang.

"Kali ini, kita akan cuba perbaiki perkara ini daripada perlawanan demi perlawanan dan pemain-pemain pun dah tahu yang kita memang tak boleh kehilangan mata lagi. 

"Insya-Allah mereka akan cuba habis-habisan," katanya.

Kemenangan itu menyaksikan THT naik ke tangga ketiga liga dengan empat mata.

Selepas ini. THT akan melayan kunjungan TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan