• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Terengganu Akan Bina Semula Rumah Terjejas Banjir

DUNGUN, 29 Januari – Kerajaan negeri sedang meneliti untuk membina dan membaik pulih kediaman penduduk yang terjejas dalam bencana banjir di Kampung Shukor, Hulu Dungun di sini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata bencana tersebut menyebabkan beberapa buah rumah musnah dan mengalami kerosakan akibat banjir.

Katanya, pihaknya sudah meminta laporan mengenai kediaman penduduk yang terjejas ini dibuat dan pegawai daerah akan hantar kepada kerajaan negeri.

“Seterusnya, kita akan mohon daripada peruntukan bencana untuk mendirikan dan membaiki kediaman yang rosak.

“Saya harap mereka yang terkesan dapat bersabar kerana mengambil sedikit masa dan kita akan usaha untuk baiki dengan kadar segera,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Ops Pasca Banjir ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi bertempat di rumah mangsa banjir semalam.

Tambah Hanafiah, pihaknya mengalu-alukan sebarang bantuan dari semua pihak untuk mereka yang terkesan banjir.

Setakat ini, bantuan pembersihan rumah sedang dijalankan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan makanan untuk mereka yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Untuk rekod, banjir besar yang berlaku pada Khamis lalu menyebabkan tiga buah rumah hanyut dan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun.

Selain Kampung Shukor, banjir sama turut melanda Kampung Pasir Raja, Kampung Jongok Batu dan Kampung Belimbing.

 

 

 


Tag: