• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kerajaan Terengganu Hulur Bantuan Kepada Mangsa Ribut

MARANG, 3 November – Sebanyak 36 buah rumah sekitar Kampung Undang, Marang yang dilanda puting beliung menerima bantuan awal daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bukit Payong.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan negeri, Hanafiah Mat berkata Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terlibat diarahkan untuk mengambil tindakan dengan segera sejurus berlakunya bencana itu.

“Alhamdulillah hari ini saya bersama Yang Berhormat (YB) kawasan untuk melihat dan menilai lebih kurang 36 buah rumah terlibat dan saya telah beri arahan kepada JPKK untuk buat tindakan segera.

“Kemudian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan buat siasatan seterusnya akan lapor kepada Tabung Darul Iman sebelum diangkat kepada kerajaan. 

“Selepas ribut reda, Pejabat DUN bersama JPKK terus turun dan bertindak serta merta. Saya ucap terima kasih kepada semua yang terlibat, yang pastinya hari ini (semalam) semua sudah selesai dibaiki,” katanya selepas mengadakan ziarah mangsa ribut di Kampung Undang, semalam. 

Salah seorang mangsa, Baharuddin Ismail, 65, berkata kejadian ribut yang berlaku sekitar jam 2.30 petang itu merupakan kali pertama berlaku sejak tinggal di situ. 

“Apa yang berlaku (puting beliung) memang saya lihat dengan mata sendiri. Dua kali angin tu mari, yang pertama tiada apa lagi, datang yang kedua dalam 5-6 saat habis terbang atap.

“Khamis minggu lepas baru siap pasang atap baru dengan kos RM5,000 tapi terpaksa tukar baru. YB pun sanggup bagi kayu sebab atap saya sudah ada,” katanya.

Terdahulu, kejadian ribut melanda kawasan Kampung Undang melaporkan kerosakan terhadap beberapa buah rumah tanpa ada kemalangan jiwa.

 


Tag: