• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Terengganu Tidak Lokek Bantu Rakyat

 

KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan negeri tidak pernah lokek untuk membantu rakyat agar kehidupan mereka lebih baik daripada sebelumnya. 

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, ia diterjemahkan melalui penyaluran peruntukan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membantu rakyat di DUN masing-masing. 

"Saya di DUN Ladang ini suka membantu sebenarnya, suka membantu apa yang perlu dibantu...tandas ke, tandas lah kena bantu. 
"Walaupun Ladang ini dekat dengan bandar. Kemiskinan bandar ini lebih teruk daripada kemiskinan di kampung.

"Apa dia nak, kita tidak soal banyak, dia nak hidup, ambillah. Bukan duit saya pun, duit kerajaan. Kita beri, mudahkan begitu. Minta harini, esok dapat. Maknanya, kita (kerajaan) rasa seronok boleh bantu orang seperti ini dan rasa bersalah kalau tidak bantu mereka," ujarnya. 

Tengku Hassan menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Aku Janji dan Dialog Prestasi Kecemerlangan Para Pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah di sini. 

Sementara itu ketika ditemui wakil media selepas majlis tersebut, beliau turut menekankan bahawa kerjasama yang erat antara tiga entiti iaitu pelajar, pendidik dan ibubapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru mampu mencipta kecemerlangan sesebuah sekolah. 

"Pelajar kena 'smart' belajar dengan bimbingan guru yang 'smart' mengajar dan PIBG membantu di belakang," jelasnya.


Tag: