• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Kerajaan Terengganu Ziarah Keluarga Kanak-Kanak Lemas

Zawawi berkongsi ceritanya kepada Hanafiah dan Mohd Soud (dua dari kiri) sambil diperhatikan Abdul Rasul (kanan).
RANTAU PANJANG, 1 Januari - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menyampaikan ucapan takziah mewakili Kerajaan Terengganu kepada keluarga tiga kanak-kanak yang lemas di Pantai Teluk Lipat, Sura, Dungun pada Ahad lalu.

"Mewakili kerajaan negeri dan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, saya mengucapkan takziah kepada encik Zawawi dan isteri yang telah kehilangan anak dalam sekelip mata.

"Inilah ujian Allah yang terpaksa diterima hamba-Nya dan kita minta semoga dengan ujian ini bertambahlah ketakwaan keluarga ini kepada Allah SWT.

"Memang dari segi kata-kata sangat senang untuk diucapkan.

"Cuma, kita yang hidup ini pasti akan mengalami kematian. Tap-tiap yang hidup akan menghadapi mati dan kita akan balik juga kepada Tuan empunya alam ini.
Kerajaan Terengganu berkongsi kesedihan keluarga ini. - Hanafiah Mat

"Kita harap keluarganya tabah dan insya-Allah sudah ada wakil mereka di syurga.

"Semoga keluarga ini mendapat rahmat daripada anak-anaknya yang dah pergi," nasihatnya kepada keluarga dan tetamu yang hadir pada pertemuan di Kampung Rahmat, Gong Periuk itu, semalam.

Zawawi Abdul Wahab, 42 dan Nur Syahida Abdullah, 36, kehilangan anak mereka iaitu Nurain Fatma, 10, Nurain Sofia, 8, dan Nurain Salsabila, 6, yang lemas dihanyutkan ombak besar ketika bermain di gigi air dalam tragedi itu.

Jenazah ketiga-tiga mereka ditemui pagi semalam dan selesai dikebumikan sekitar jam enam petang di kampungnya.

Hanafiah yang diiringi Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga..

"Kita berada di sini hadir untuk menghiburkan sedikit hati mereka," katanya.

Dalam pada itu, Zawawi turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu mereka.


"Terima kasih kepada pihak yang banyak membantu saya terutama orang-orang Dungun dalam pencarian dan menguruskan jenazah kembali ke sini sehingga yang membantu kepada pengebumian.

"Banyak yang membantu, sampai ke hospital turut ada yang bertanya khabar dan memberikan sumbangan serta pertolongan.

"Tidak lupa juga kepada yang memberi sokongan moral dan menziarahi kami," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apam Putera, Abdul Rasul Mohamad merakamkan terima kasih atas kunjungan Hanafiah itu.

"Bagi pihak Kerajaan Kelantan dan keluarga ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Terengganu dan rakyat Terengganu yang memberikan bantuan ketika kami dalam kesusahan," katanya.

Kunjungan petang itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan, Dato' Nazran Muhammad.
Abdul Rasul.


Tag: