• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Kerja Berpasukan Bantu Tajin FC Rangkul Juara Piala ADUN Kuala Berang


Oleh: Hanif Hamdan

HULU TERENGGANU, 22 Julai - Kerjasama berpasukan Tajin FC akhirnya membuahkan hasil sekali gus muncul juara Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang selepas menewaskan Tanjung Putat FC 2-3 di Padang Astaka, Kuala Berang, malam tadi.

Separuh masa pertama, Tanjung Putat FC yang keseluruhannya diwakili anak jati kampung mereka mendahului Tajin FC dengan dua gol tanpa balas dengan penguasaan bola yang seimbang dari kedua-dua pasukan.

Biarpun ketinggalan dengan dua gol, pasukan Tajin FC tetap bersemangat memburu jaringan pada separuh masa kedua sehinggalah berjaya menjaringkan tiga gol berbalas dua untuk menjulang Piala ADUN Kuala Berang selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 1999.


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, beliau sangat kagum dengan kebangkitan pasukan Tajin FC untuk memenangi perlawanan akhir tersebut.

"Satu contoh yang baik ditunjukkan oleh pasukan Tajin FC pada malam ini (semalam) apabila mereka terus berjuang walaupun dua kali mereka bolos dan ini merupakan satu perkara yang kita semua patut contohi.

"Mereka menunjukkan kerjasama yang baik di antara pemain mereka dan berjaya mencipta tiga gol yang sangat baik bagi saya," ujarnya.


Menurut Dr Mamad yang juga ADUN Kuala Berang, etika pemakaian menutup aurat ketika bersukan mestilah ditekankan kerana ianya merupakan tuntutan agama.

"Islam tidak melarang umatnya untuk bersukan, tetapi kita mestilah mengikut garis panduan agama seperti menutup aurat dan bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi," katanya.

Perlawanan akhir malam tadi turut menyaksikan anugerah Pemain Terbaik Kejohanan dimenangi oleh Muhamad Hanafi Umar dari Tajin FC.

Turut hadir menyaksikan perlawanan ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid, Penyelaras Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kuala Berang, Mohamed Abdullah dan Penyelaras Pemuda DUN Kuala Berang, Aminuddin Mohamad.



Tag: