• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerjasama Antara Agensi Bantu Sejahterakan Rakyat

MARANG, 13 November - Kerjasama agensi negeri dan persekutuan merupakan antara asas kesejahteraan dan pembangunan dakwah di Terengganu. 

Pengerusi Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata kerajaan negeri sentiasa komited dalam memperkukuh hubungan dan interaksi dengan badan-badan bukan kerajaan persekutuan Islam dalam menyampaikan mesej dakwah di negeri ini.

"Kita bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti YADIM, JAKIM, YAPeIM, dan JaPen bagi memastikan agenda pembangunan insan itu tercapai.

"Kolaborasi yang baik antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan sangat diperlukan bagi pelaksanaan gerak kerja dengan lebih berkesan kepada rakyat Terengganu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Komuniti Sejahtera Darul Iman Di Hatiku (K.O.S.D.I) @Marang, dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) peringkat daerah ini, di Dewan Sebaguna Kg. Sena Rendang , di sini, pada hari ini.

Turut hadir, Pengarah YADIM negeri, Nasrul Hadi Saidin, Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan Malaysia, Aszahari Abdul Rahman dan Pengurus YAPeIM negeri, Kartina Ahmad.

Tambah Mohd Nor, usaha berterusan untuk melaksanakan aktiviti dakwah di negeri ini perlulah disokong oleh semua pihak.

"Maka sudah pasti agenda untuk menyeru masyarakat kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran dapat kita lestarikan dengan sebaik mungkin apabila wujudnya kerjasama dan sokongan tersebut.

"Marilah sama-sama kita jadikan dakwah sebagai suatu kebiasaan dalam hidup kita," katanya.


Tag: