• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Kerjasama Baik Antara Agensi Persekutuan, Negeri Perlu Diteruskan

MARANG, 26 Februari- Kerjasama erat antara agensi kerajaan persekutuan dan negeri yang sedia terjalin sebelum ini perlu diteruskan demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pengukuhan hubungan antara kedua-duanya bukan hanya dapat memberi manfaat kepada rakyat malah dapat memudahkan urusan agensi terlibat.

“Sedikit sebanyak halangan kita akan cari jalan yang terbaik untuk mengharmonikan dan akhirnya rakyat dapat manfaat.

“Walau siapa yang memerintah di persekutuan dan kerajaan mana yang mentadbir di peringkat negeri, kita semua hendak berkhidmat kepada rakyat.

“Dan Terengganu salah sebuah negeri yang berada dalam Malaysia, kita bergerak seiring jangan ada pemisah, tidak akan berjaya mana-mana program yang terpisah antara negeri dan persekutuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Bulanan Anggota Bagi Bulan Februari Tahun 2024 Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu di Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Payong, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Hasmila Abas.

Menurut beliau, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu antara agensi kerajaan persekutuan yang memberikan kerjasama baik kepada kerajaan negeri.

“Antaranya, LPP Negeri Terengganu telah menguruskan Skim Bantuan Modal Tani kita sejak daripada 2019 lagi dengan peruntukan memcecah RM5 juta setahun.

“Kita ada senarai usahawan Skim bantuan Modal tani yang berjaya di seluruh negeri, sentiasa kita turun padang untuk melihat perkembangan projek-projek yang dilaksanakan samada projek perikanan, penternakan dan pertanian.

“LPP juga sentiasa menerajui Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu sebagai urusetia dan sangat banyak kolaborasi yang telah kita jalankan bersama,” ujarnya.