• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerjasama NGO Dan JPKK Ringankan Beban Mangsa Banjir

DUNGUN, 14 Januari - Kerjasama erat antara Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berjaya meringankan beban mangsa banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata, selepas surutnya air banjir sememangnya mangsa-mangsa banjir amat memerlukan bantuan dan pertolongan.

"Termasuk pertolongan membersih rumah  dan juga bantuan dari segi barangan dapur serta peralatan rumah yang rosak," katanya.

Alias berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kerja-kerja pembersihan di Kampung Rantau Panjang, DUN Bukit Besi.

Alias yang juga merangkap Pengerusi Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana (KHIDMAT) Malaysia, Dungun menzahirkan ucapan terima kasih kepada JPKK Rantau Panjang yang dipengerusikan oleh Mohd Zaid Jaafar dan juga JPKK-JPKK yang kampung terlibat dengan banjir di Dungun atas kerjasama menyalurkan maklumat yang berterusan.

Menurutnya, KHIDMAT menerusi entitinya seperti Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun, Muslimat, Ameerah, Pemuda dan Kelab Kebajikan Dan Rekreasi Peminat Pacuan Empat Roda
Dungun (PADAT) belum berhenti lagi dalam membantu mangsa banjir bermula dari banjir fasa satu melanda sehinggalah selepas banjir fasa kelima ini.

"Adakala mereka turun sekali dan ada waktunya secara berasingan untuk memastikan mangsa-mangsa banjir benar-benar dibantu.

"Malah bukan hanya tenaga-tenaga dari Dungun sahaja tetapi juga daripada luar turut datang membantu," katanya

Salah seorang anggota JAM Marang yang sempat ditemui, Azmi Osman, 26, berkata, dia bersama rakan-rakannya seramai lapan orang menyertai Misi Bantuan Pasca Banjir KHIDMAT Malaysia Dungun kerana kerjasama yang erat antara sesama anggota KHIDMAT tanpa ada sempadan kawasan. 

"Dalam JAM, kami memang diasuh untuk bersiap terima arahan, walaupun di mana sahaja diarahkan," ujarnya.


Tag: