• 21 Okt 2021 | 14 Rabiul Awal 1443

Kerjasama YT Dan UTP Buka Ruang Buat Pelajar Pintar B40

KUALA TERENGGANU, 9 September – Kerjasama pintar antara Yayasan Terengganu dan Universiti Teknologi Petronas ( UTP)  mampu membuka ruang kepada pelajar pintar B40 negeri ini melanjutkan pelajaran ke peringkat Persediaan/Asas dan Ijazah Sarjana Muda di pelbagai bidang di UTP.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia merupakan kolaborasi pertama antara Yayasan Terengganu dengan universiti swasta dalam negara yang merupakan antara 'Top 100 Asia bagi World Ranking Universiti tahun 2020'  telah dilaksanakan secara lebih teratur dan terancang.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha menyediakan asas-asas yang terbaik untuk terus memacu kecemerlangan Terengganu dalam medan pendidikan.

“Untuk permulaan, sepuluh orang pelajar telah terpilih iaitu tiga orang yang akan mengikuti program persediaan (Foundation) dan tujuh lagi akan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda di UTP di bawah Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Kerjasama ini tidak hanya melibatkan penajaan pelajar semata-mata, bahkan melibatkan  program pendidikan pelajar melalui aktiviti berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutamanya di Sekolah Menengah  Imtiaz YT, latihan pembangunan staf/guru berdasarkan perkembangan alaf baharu, dan program penempatan kakitangan termasuk pertukaran kakitangan

“Ia bagi melahirkan generasi masa hadapan yang mampu untuk menghadapi apa jua cabaran dan menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara kerana generasi ini dibentuk bukan hanya menerusi kecemerlangan dalam jangka masa  yang tertentu tetapi melalui gabungan berbagai keperluan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara Yayasan Terengganu dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar; Pengerusi Lembaga Pengarah UTP, Dato' Raiha Azni Abd Rahman; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato' Razali Che Ani, Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat  dan Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim.

Menerusi persefahaman pada hari ini, Tabung Amanah Zakat UTP (TAZU) akan menaja seramai 20 orang pelajar yang memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pengajian peringkat Asas (Foundation) untuk tempoh pengajian selama satu tahun.

Yayasan Terengganu dan Tabung Amanah Zakat UTP akan menaja seramai 20 orang pelajar yang memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mana akan ditanggung secara bersama berdasarkan jumlah yang telah dipersetujui.