• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Kerosakan Infra Akibat ECRL Perlu Dibaik Pulih Segera

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Kerajaan Pusat perlu mengambil perhatian bahawa jajaran East Coast Rail Link (ECRL) memberi kesan yang besar kepada penduduk.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, sepanjang pembinaan ECRL dijalankan, kerosakan jalan berlaku dengan sangat teruk, jalan berlubang, kerosakan infrastruktur dan sebagainya.

“Saya mendapat aduan dan keluhan penduduk setempat berkenaan hal ini dan justeru itu saya mohon perhatian pihak kementerian agar pembinaan ECRL tidak membebankan rakyat tempatan dan pembaikian kerosakan jalan tersebut dijalankan dengan kadar segera.

“Ada tempat seperti di kampung Gong Dasar dan Kuala Kubang, Jabi memerlukan pembinaan terowong untuk menjadi laluan kenderaan kecil seperti motosikal dan kereta,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, proses membaik pulih jalan-jalan tersebut mengambil masa yang panjang untuk dipulihkan dan tindakan sewajarnya perlu dibuat sebelum ia meninggalkan kesan lebih besar kepada penduduk.


Tag: