• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Kes Demam Denggi Meningkat di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Terengganu merekodkan peningkatan kes denggi sebanyak125 kes berbanding 118 kes bagi tempoh yang sama tahun 2023 pada Minggu Epid ke 25/2024.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong menjelaskan angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak tujuh kes bersamaan 5.9 peratus.

Katanya, walaupun berlaku peningkatan kes namun wabak itu masih terkawal selain daripada angka tersebut, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan

"Walaupun ada sedikit peningkatan tetapi tiada wabak yang teruk berlaku di negeri ini. Setakat ini terdapat lima wabak berlaku sehingga Jun ini.

"Ia berlaku di Besut dan Marang masing-masing merekodkan dua wabak selain satu wabak berlaku di Hulu Terengganu.

"Wabak itu sudah pun tamat dan ia dapat dikawal dengan baik. Setakat ini tiada kes kematian akibat denggi direkodkan di Terengganu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, Dr Kasemani berkata pihaknya sentiasa komited selain mengambil tindakan serius melalui aktiviti penguatkuasaan berhubung peningkatan kes demam denggi di Terengganu.

Menurutnya, melalui pemeriksaan penguatkuasaan sehingga tempoh Januari hingga Mei lepas, sebanyak 1,261 kesalahan pembiakan aedes dengan jumlah kompaun yang ditawarkan RM198,500.

"Secara keseluruhan sebanyak 110 premis telah diperiksa dan sebanyak 82 kesalahan telah dikesan dengan nilai kompaun sebanyak RM32,750," ujarnya.

Beliau juga berkata usaha mengatasi masalah demam denggi ini adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak harus berkerjasama menghentikan pembiakan nyamuk Aedes ini.