• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kes Jenayah Komersial di Terengganu Menurun

KUALA TERENGGANU, 29 Januari- Kes jenayah komersial di Terengganu tahun lalu merekodkan penurunan berbanding tahun sebelumnya, ujar Polis Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, sebanyak 1,237 kes jenayah komersial membabitkan jumlah kerugian RM33.32 juta sepanjang tahun 2023, berbanding 1,311 kes dengan kerugian RM24.32 juta pada 2022.

Katanya, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu menunjukkan peningkatan kerugian pada tahun 2023 sebanyak RM8.9 juta atau 37 peratus berbanding tahun 2022.

"Bagi tangkapan kes jenayah komersial pula seramai 658 tangkapan bagi tahun 2023, berbanding 536 tangkapan pada 2022 iaitu peningkatan seramai 122 tangkapan atau 18.54 peratus,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Mazli berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 27 Januari tahun ini, sebanyak 393 laporan polis telah diterima dan 94 kertas siasatan telah dibuka melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM1.4 juta.

Katanya, penyumbang utama kes jenayah komersial adalah melibatkan kes penipuan yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan penipuan kes skim pelaburan tidak wujud didapati menjadi penyumbang tertinggi kepada jumlah kerugian.

Justeru katanya, pihak polis menasihati masyarakat supaya sentiasa peka, berwaspada serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi, selain mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan skim pelaburan.