• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kes Kanser Meningkat di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 9 Mac – Trend penyakit kanser menunjukkan peningkatan di Terengganu apabila menunjukkan pertambahan sebanyak 1,223 pada  2022 berbanding 1,193 tahun 2021.

Pengarah Kesihatan negeri Terengganu, Datuk Kasemani Embong berkata tiga jenis kanser tertinggi dikesan dihidapi rakyat negeri ini adalah kanser payu dara sebanyak 23.8 peratus, diikuti oleh kanser kolorektal(11.8 peratus) dan kanser paru-paru sebanyak 11.8 peratus. 

Katanya, lebih 60 peratus daripada semua kes kanser dilaporkan, sudah berada pada peringkat tiga dan empat apabila pesakit didiagnosis.

“Jika kanser ini dapat dikesan awal, penyakit itu boleh dipulihkan. Malangnya di Malaysia ini, kebanyakkan kanser lebih 60 peratus dikesan lewat iaitu sudah ditahap tiga dan empat, yang mana rawatan akan menjadi lebih rumit, kos perubatan tinggi dan peluang untuk sembuh itu kurang berbanding pesakit ditahap satu dan dua.

“Kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap penyakit yang menjadi pembunuh kedua di negara ini masih rendah, justeru segala usaha dan maklumat perlu diperluaskan agar penyakit berbahaya ini dapat dikesan lebih awal,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sambutan Kanser Sedunia peringkat negeri di Dewan Majlis Daerah Marang di sini hari ini.

Tambah Dr.Kasemani, masyarakat perlu kenali simptom kanser, amalkan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang serta mengelakkan amalan tidak sihat seperti merokok, berupaya membantu ramai orang daripada terkena kanser.

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai untuk menjalankan saringan kesihatan mereka dan penglibatan semua pihak dalam memupuk kesedaran mengenai pentingnya saringan awal kanser juga amat digalakkan. 

Menurutnya lagi, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) merupakan salah satu hospital yang mempunyai kepakaran tinggi  dalam perawatan kes-kes kanser.

“HSNZ menjadi pusat rujukan serantau(regional referral center) untuk zon timur bagi peadiatric heamato oncology atau kanser darah kanak-kanak,”katanya.