• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kesabaran Pekebun Kecil Berbaloi

KUALA NERUS, 28 Oktober - Kesabaran pekebun kecil di Sungai Emas, Bukit Guntung yang menunggu proses mencuci dan menggali parit di kawasan itu selama sebulan akhirnya terbalas apabila operasi itu selesai sepenuhnya beberapa hari yang lalu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, segala masalah yang membelenggu penduduk setempat dijangka tidak akan berulang lagi selepas ini khususnya buat pekebun-pekebun kecil yang sentiasa berdepan masalah kerosakan tanaman apabila berlaku limpahan air.

"Insya-Allah, masalah limpahan air di sekitar kawasan ini sehingga merosakkan tanaman di kebun penduduk dijangka akan melegakan semua yang terlibat.

"Hampir sebulan kerja-kerja proses mencuci dan menggali parit Bukit Jong, Sungai Emas dan Pengkalan Gelugur di Bukit Guntung telah berjaya disempurnakan dengan penglibatan sepenuhnya penduduk yang berkaitan," katanya semasa meninjau operasi di parit berkenaan kelmarin.

Menurut beliau, kerjasama yang baik daripada orang ramai terutamanya penuntut Madrasah Darul Muhajirin (Pondok Bukit Jong), pekebun-pekebun kecil di Bukit Jong dan Sungai Emas serta penduduk kampung Pengkalan Gelugur sangat dihargai.

"Tempoh masa yang agak lama terpaksa dilaksanakan oleh kontraktor kerana sebahagian tali air sedia ada tertimbus dan menyukarkan laluan jentera berat namun ia berjaya diatasi dengan lancar,” jelasnya.

Sebelum ini kerja-kerja pembersihan parit ini dilaksanakan di Kg.Banggol Nyiur, Gemuroh, Kg Raja Tepoh, Kg.Tok Ba dan sekarang kerja-kerja ini sedang dilaksanakan di Kg.Tok Jiring.


Tag: