• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Subsidi Diesel : Kaji Kesan Kenaikan Kos Sektor Perikanan Secara Holistik

MARANG, 28 Mei - Kenaikan kos dalam sektor perikanan dan pertanian susulan Program Subsidi Diesel Bersasar adalah isu kompleks yang memerlukan pendekatan holistik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia melibatkan keseimbangan antara menjaga kebajikan rakyat, memastikan kestabilan ekonomi dan mengekalkan kelestarian kewangan negara.

"Masih tak jelas dan saya tak dapat nak komen dengan mendalam kerana prosedur dan tatacara pelaksanaan masih tak jelas lagi.

"Cuma kita mengharapkan apa sahaja langkah yang diambil, manfaat mesti sampai kepada golongan dan sasaran tepat kerana apa sahaja kenaikan kesannya menjadi berantai," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media pada Program Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) Wakaf Unjam Lambaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Pangkalan Nelayan Merchang, Marang, pada hari ini.

Justeru itu, Dr Azman berharap program subsidi bersasar tidak memberi impak negatif kepada rakyat, terutama golongan umum seperti para nelayan.

"Bila naik harga minyak kos nelayan ke laut akan meningkat dengan sendiri menyebabkan peningkatan dari segi harga ikan dan memberi kesan kepada pengguna," ujar beliau.


Tag: