• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Kesedaran Masyarakat Kepentingan Pengosongan Tangki Septik Dipertingkat

KUALA TERENGGANU, 30 Jun- Kesedaran dalam kalangan masyarakat di negeri ini mengenai kepentingan pengosongan tangki septik secara berjadual akan dipertingkat bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat berkata, susulan itu kerajaan negeri menjadi pemudah cara kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan syarikat pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dalam memupuk kesedaran pengguna.

“Contohnya hari ini, kita mengadakan sesi taklimat kepada penghulu-penghulu mukim untuk mereka panjangkan mengenai kepentingan pengosongan tangki septik kepada penduduk kampung dan juga taman perumahan.

“ini kerana pengosongan tangki septik secara berkala amat penting dalam memastikan enap cemar yang terkumpul dibawa ke pusat rawatan kumbahan untuk dirawat sebelum dilupuskan ke tapak pelupusan yang dibenarkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sesi Libat Urus Dan Taklimat Kesedaran Pengosongan Tangki Septik Kepada Penghulu Mukim dan Wakil Pihak Berkuasa Tempatan Seluruh Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pengarah SPAN Wilayah Timur, Azamy Abdul Aziz Abdul Aziz dan Ketua Jabatan Perniagaan Nyah Enapcemar IWK, Pauzi Mohamed.

Katanya, sisa kumbahan perlu dilupuskan dengan cara yang betul dan selamat supaya dapat mengelak berlakunya penyebaran penyakit bawaan air yang berbahaya kepada masyarakat.

“Kita harap pengguna sedar akan hal ini kerana risiko pencemaran sumber air berpunca daripada tangki septik bukan sahaja menyusahkan mereka tetapi juga komuniti terdekat,” ujarnya.

Sementara itu, Pauzi memaklumkan, kesedaran mengosongkan tangki septik di kediaman secara berjadual masih rendah dalam kalangan masyarakat di Terengganu dengan kurang dari 10 peratus daripada kira-kira 90,000 tangki septik di negeri ini. 

“Boleh dikatakan hampir semua negeri lebih kurang sama iaitu dibawah 10 peratus yang tangki septik telah dikosongkan secara berjadual.

 “Justeru, kita terus berusaha untuk sedarkan masyarakat melalui penghantaran notis, pertingkatkan kempen dan pelbagai cara lagi,” katanya.

Tamabh beliau, masyarakat dan pengguna diharapkan akan bertanggungjawab untuk bersama-sama mengosongkan tangki septik memandangkan kos yang dikenakan agak berpatutan.

“Berdasarkan soal selidik yang dilakukan pihak kami, hampir 95 peratus  pengguna faham tentang kepentingan pengosongan tangki septik tetapi mereka tidak meletakkan ia sebagai keutamaan dalam pengurusan kewangan keluarga masing-masing,” ujarnya.