Jalur Gemilang
Berita :
Kesiapsiagaan Banjir Perlu Libatkan Semua Pihak – JPS Terengganu
Kesiapsiagaan Banjir Perlu Libatkan Semua Pihak – JPS Terengganu
Rohayati Ripin
46 minit yang lepas
29

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir perlu menjadi tanggungjawab bersama antara kerajaan dan masyarakat bagi memastikan komuniti lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Ts. Gs Osnab Abdullah berkata, usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai pengurusan banjir perlu diperkukuh, khususnya dengan mengambil kira pengalaman dan keadaan semasa di kawasan Kemaman.

Menurut beliau, pengurusan banjir bukan hanya bergantung kepada tindakan kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama komuniti setempat dalam memahami risiko, menjaga persekitaran serta mengambil langkah persediaan yang sewajarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Karnival Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober di Chukai Waterfront, Kemaman.

Katanya, penganjuran karnival berkenaan menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sungai, kebersihan sungai serta kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir menerusi elemen Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA).

“Pengurusan banjir bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk komuniti setempat,” ujarnya.

Tambah beliau, program berkenaan turut mendekatkan masyarakat dengan usaha pengurusan sungai, sistem saliran dan banjir yang dilaksanakan kerajaan, selain membentuk budaya masyarakat yang lebih prihatin terhadap kebersihan serta kelestarian sungai.

Karnival berkenaan dianjurkan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman (PDK), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan JPS dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta, komuniti setempat serta orang awam.

Antara pengisian utama ialah Run4River yang diadakan pada 3 Oktober dan menarik penyertaan kira-kira 300 peserta, selain pameran agensi, aktiviti kanak-kanak, demonstrasi keselamatan dan menyelamat, jualan serta aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Justeru itu, beliau berharap mesej yang dibawa menerusi karnival itu dapat diterjemahkan kepada tindakan berterusan masyarakat dalam menjaga sungai, alam sekitar dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi banjir.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan