• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kesusahan Keluarga Mohd Izduan Dapat Perhatian

Oleh : Amiirullah Mansor 

DUNGUN, 1 September- Kesempitan hidup Mohd Izduan Setapa, 40, yang tidak mampu bekerja kerana masalah kesihatan bakal mendapat pembelaan.

Kesusahannya sekeluarga mendapat perhatian Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam). 

Mohd Izduan berkata, disebabkan masalah kesihatan yang dihadapinya, dia tidak lagi mampu untuk melakukan kerja-kerja berat sejak tiga tahun lalu.

"Pendapatan saya kini sangat terhad, kadang nak dapat RM100 pun susah dalam sebulan tu disebabkan sekarang ini hanya mampu melakukan kerja-kerja kampung sahaja seperti mengambil upah mesin rumput di sekitar kampung ini," ujarnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan daripada Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka,  Muhammad Wirdan Shahidan, dan isteri ADUN Paka, Sabariah Ilyas, di rumah sewanya di Kampung Nyior,Paka, baru-baru ini.

Katanya, dia nasihatkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan bagi memastikan kesihatannya kembali pulih namun terpaksa ditangguh disebabkan masalah kewangan.

“"Saya terpaksa menangguh dulu pembedahan atas faktor pendapatan saya yang hanya cukup untuk menyara keluarga saya dan membayar sewa rumah sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Wirdan berkata, kehadiran beliau yang mewakili ADUN Paka, Satiful Bahri Mamat  bersama pihak YPKT dan Maidam  adalah untuk menyampaikan bantuan dan menyalurkan maklumat berkaitan bantuan yang boleh dimohon oleh keluarga Mohd Izduan.

"Alhamdulillah, hari ini pihak kami bersama 'Mobile Team', Maidam, YPKT dan wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Nyior  berkesempatan menzirahi keluarga Mohd Izduan dan memberikan maklumat kepadanya berkaitan bantuan-bantuan yang boleh dimohon. 

"Pihak kami akan "follow up" status permohonannya selepas ini dan berharap proses meluluskan bantuan dapat dipercepatkan," ujarnya.
 


Tag: