• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Khatan Percuma Ringankan Beban Kos Ibu Bapa

KUALA NERUS, 15 Disember - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir mengambil usaha tepat dengan Program Khatan Percuma di klinik swasta terpilih melibatkan seramai 28 orang peserta bagi meringankan beban ibu bapa.

Menurut seorang bapa, Mohd Sabri Muhammad, 45, berkata, dia bersyukur kerana anjuran tersebut diadakan dengan anaknya menyertai sebagai peserta serta terharu kerana golongan keluarga kurang berkemampuan terus mendapat perhatian dan kecaknaan.

"Program ini sangat membantu kami golongan berpendapatan rendah dan mampu mengurangkan beban kewangan ibu bapa kerana kos untuk seseorang berkhatan agak tinggi dan dimaklumkan berlaku kenaikan pada tahun ini," katanya ketika ditemu bual pemberita, hari ini.

Seorang lagi penjaga, Noriah Faridah Said,43, yang turut menghantar anaknya untuk berkhatan dalam program hasil sebaran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

"Kalau tak percuma, kena menabung juga lah, suami pula bekerja dan menampung kos kekeluargaan lain jadi susah sikit,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab menjelaskan, memandangkan kos yang serba meningkat pada masa kini amat membantu mereka yang kurang berkemampuan.

“Pelaksanaan ini banyak memberi kemudahan kepada ibu bapa yang menghadapi masalah kewangan untuk menghantar anak mereka berkhatan di hospital atau klinik swasta dengan kos yang agak mahal,” ujarnya

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, aktiviti tersebut telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan ekoran penularan wabak COVID-19 yang masih belum reda.