• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Khidmat Kaunseling Sistem Sokongan Masyarakat

Alias Harun berucap merasmikan Seminar Santai Minda Keluarga.
Oleh: Aslam Wira

MARANG, 9 November - Bagi memperkukuh dan memartabatkan lagi pembudayaan dan promosi, perkhidmatan kaunseling menjadi salah satu sistem sokongan kepada masyarakat.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Haji Alias Harun berkata, kesedaran masyarakat mengenai kewujudan kaunselor dan kepentingan perkhidmatan kaunseling profesional dalam masyarakat perlu ditingkatkan.

"Kesejahteraan psikologi (subjective well-being) merupakan salah satu penanda aras kepada tahap pencapaian kesejahteraan sesebuah negara.

“Namun begitu, aspek ini kurang diberi perhatian secara serius oleh masyarakat menjadikan konsep kesejahteraan tidak lengkap dan kurang menyeluruh terutama dari aspek kesejahteraan keluarga," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Santai Minda Keluarga anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Terengganu di Bilik Seminar Pusat Khidmat Setempat (PKS) OKU Marang, Sungai Kerak, Marang, semalam.

Difahamkan, "Perkhidmatan Kaunseling Profesional Pemangkin Kesejahteraan" telah dipilih sebagai tema sempena menyambut Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2018.


Sehubungan itu, menurutnya, program tersebut bertujuan untuk mempromosi, menyebarluas serta membudayakan perkhidmatan kaunseling profesional sebagai usaha terbaharu dalam mendidik dan memberi khidmat sokongan kaunseling kepada masyarakat.

"Selain itu, ia juga dapat mengurangkan stigma masyarakat terhadap perkhidmatan kaunseling yang terhad dan kepada orang bermasalah sahaja," jelasnya.

Turut diselitkan, Forum Bicara Santai yang disampaikan oleh Kaunselor Institut Perguruan Sultan Mizan, Siti Hajar Ahmad dan Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu, Dr Kamarul Md Shah.

Seramai 60 orang peserta menghadiri program tersebut.

Hadir sama, Pengarah LPPKN, Mohamad Noh Abdullah, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Terengganu, Asma Mahidin.

Tag: