• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Khidmat Malaysia Bantu Mangsa Banjir Dungun

DUNGUN, 22 Disember- Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turun padang membantu meringankan beban mangsa banjir di daerah ini termasuk Pengurusan Kecemasan Dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) kawasan Dungun.

Pengerusinya, Khairul Ismail berkata, Khidmat Malaysia bersama beberapa NGO lain ikhlas menyantuni mangsa banjir dan menghulur bantuan, sama ada sumbangan barangan keperluan atau dalam kerja pembersihan.

“Kami bergerak bersama Jabatan Amal ke Durian Mentangau, Kampung Nyior, dan Pinang Merah untuk memberi bantuan makanan, minyak petrol, dan 'jenset' kerana di Durian Mentangau terputus bekalan api dari semalam lagi. 

"Terdapat satu Pusat Pemindahan Sementaraq (PPS) sahaja di Durian Mentangau, ada juga beberapa mangsa di Durian Mentangau terpaksa dialihkan ke PPS lain, cuma kami pihak Khidmat Malaysia bersama-sama dengan Jabatan Amal dan PADAT akan bergerak memberi bantuan sokongan kepada agensi yang terlibat termasuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan sebagainya," ujarnya ketika ditemui di Pejabat PAS Kawasan Dungun, semalam.

Katanya, orang ramai dialu-alukan untuk turut sama membantu mangsa banjir dengan menyediakan barang-barang keperluan untuk dihantar ke PPS. 

"Antara yang menjadi keutamaan bagi mangsa banjir ketika berada di PPS adalah makanan, tilam, selimut, tuala wanita, susu dan lampin bayi pakai buang serta lain-lain.

“Kalau ada yang ingin menyalurkan bantuan boleh hubungi terus bilik gerakan kami yang bertempat di Pejabat PAS Kawasan Dungun," katanya
 

 

 

 

 


Tag: