Jalur Gemilang
Berita :
Khutbah Khas Palestin di Seluruh Masjid Terengganu 16 Oktober
Khutbah Khas Palestin di Seluruh Masjid Terengganu 16 Oktober
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
47

KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Isu Palestin akan dibawa secara serentak ke seluruh masjid di Terengganu menerusi pelaksanaan Khutbah Khas Palestin pada 16 Oktober ini sempena Himpunan Taufan Al-Aqsa 2026.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan khutbah khas itu menjadi antara pengisian utama yang disusun bagi menyemarakkan solidariti rakyat Terengganu terhadap rakyat Palestin.

Katanya, usaha berkenaan penting bagi mengingatkan masyarakat bahawa Palestin bukan sekadar isu sebuah negara, sebaliknya merupakan amanah kemanusiaan yang menuntut keprihatinan seluruh umat.

“Palestin bukan sekadar isu sebuah negara, tetapi amanah kemanusiaan yang menuntut keprihatinan seluruh umat. 

"Selagi bumi Palestin masih dijajah dan rakyatnya terus berdepan penderitaan, selagi itulah doa, solidariti dan sokongan kita tidak boleh terhenti. 

"Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan kemenangan kepada rakyat Palestin dan membebaskan Masjid Al -Aqsa daripada cengkaman penjajahan," jelasnya dalam satu kenyataan media dalam laman sosial rasminya, hari ini.

Menurutnya, Khutbah Khas Palestin itu akan dilaksanakan di seluruh masjid di negeri ini pada 16 Oktober, selain beberapa program lain termasuk Perarakan Bot, Ceramah Mega Taufan Al-Aqsa, Sidang Meja Bulat Terengganu International Summit (TIS) dan Konvoi Taufan Al-Aqsa.

Ahmad Samsuri turut menyeru rakyat Terengganu untuk bersama-sama menyemarakkan Himpunan Taufan Al-Aqsa 2026 sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

"Marilah kita hadir beramai-ramai, menyatukan suara dan memperkukuh solidariti bersama saudara kita di Palestin.

"Mudah-mudahan setiap langkah, doa dan usaha yang kita zahirkan menjadi sebahagian daripada perjuangan menegakkan keadilan dan mempertahankan bumi Al-Aqsa," tambah beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan